
Jaundis atau penyakit kuning pada bayi baru lahir ialah keadaan yang sangat biasa, terutamanya dalam minggu pertama selepas kelahiran. Ia berlaku apabila terdapat lebihan bilirubin dalam darah bayi, menyebabkan kulit dan bahagian putih mata kelihatan kekuningan.
Walaupun kebanyakannya tidak berbahaya, ada keadaan tertentu di mana bacaan kuning bayi boleh menjadi serius dan memerlukan rawatan segera. Jadi, berapa bacaan kuning yang dianggap normal dan bilakah ibu bapa perlu risau dan perlu segera dapatkan rawatan ?
Apa Itu Bilirubin?
Bilirubin ialah pigmen berwarna kuning yang terhasil apabila sel darah merah lama yang dipecahkan.Pada orang dewasa yang sihat, hati berfungsi memproses bilirubin dan menyingkirkannya daripada badan. Namun, bagi bayi baru lahir—terutamanya dalam beberapa hari pertama kehidupan—fungsi hati masih belum matang sepenuhnya untuk memproses bilirubin dengan berkesan. Keadaan ini menyebabkan bilirubin terkumpul dalam darah dan seterusnya mengakibatkan jaundis.
Keadaan inilah yang menyebabkan jaundis bayi yang menyebabkan bayi akan nampak kekuningan pada kulit dan bahagian putih mata.
Punca Jaundis pada Bayi Baru Lahir
Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan jaundis pada bayi baru lahir. Secara semula jadi, bayi mempunyai bilangan sel darah merah yang lebih tinggi ketika dilahirkan, menyebabkan lebih banyak bilirubin terhasil semasa proses pemecahan sel darah merah tersebut. Pada masa yang sama, fungsi hati bayi yang masih belum matang sepenuhnya menyukarkan proses penyingkiran bilirubin daripada badan.
Selain itu, penyusuan susu yang tidak mencukupi boleh menyebabkan dehidrasi dan pengeluaran najis yang berkurangan. Oleh kerana bilirubin disingkirkan melalui najis, keadaan ini boleh menyebabkan pengumpulan bilirubin dalam darah.
Ketidakserasian kumpulan darah seperti Rh atau ABO antara ibu dan bayi juga boleh menyebabkan sistem imun ibu memusnahkan sel darah merah bayi, seterusnya meningkatkan paras bilirubin dengan lebih cepat.
Dalam kes yang jarang berlaku, gangguan genetik yang menjejaskan fungsi hati, serta jangkitan atau gangguan metabolik tertentu, turut boleh menjadi punca peningkatan tahap bilirubin.
Simptom Jaundis pada Bayi Baru Lahir
Mengenali tanda-tanda jaundis lebih awal amat penting bagi memastikan rawatan dapat diberikan pada waktu yang tepat. Simptom yang paling jelas ialah kekuningan pada kulit dan bahagian putih mata bayi.
Selain itu, ibu bapa juga perlu peka terhadap tanda-tanda berikut:
- Mengantuk berlebihan: Bayi kelihatan terlalu lesu atau sukar dibangunkan
- Kurang selera menyusu: Bayi tidak mahu menyusu atau menyusu dalam tempoh yang singkat
- Air kencing gelap atau najis cerah: Air kencing berwarna gelap dan najis pucat boleh menandakan lebihan bilirubin dalam badan
Sekiranya tanda-tanda ini diperhatikan, pemeriksaan doktor perlu dilakukan dengan segera.
Apakah Bacaan Normal Jaundis Bayi?
Bacaan normal bagi jaundis bayi ialah kurang daripada 5 mg/dL. Bacaan melebihi paras ini biasanya menunjukkan kehadiran jaundis, namun tahap kebimbangan bergantung kepada beberapa faktor klinikal.
Rawatan seperti fototerapi akan dipertimbangkan sekiranya bacaan bilirubin meningkat dengan ketara. Keputusan rawatan tidak dibuat berdasarkan angka semata-mata, tetapi turut mengambil kira:
- Umur bayi (dalam hari atau jam)
- Kadar peningkatan bacaan bilirubin
- Berat badan bayi
- Sama ada bayi dilahirkan cukup bulan atau pramatang
- Keadaan kesihatan keseluruhan bayi
Oleh itu, penilaian dan nasihat daripada doktor adalah penting untuk menentukan sama ada bayi anda memerlukan rawatan fototerapi atau hanya pemantauan berkala.
Bacaan Kuning Tahap Bilirubin
Secara amnya, ini adalah panduan umum bagi bacaan bilirubin:
| Bacaan (mg/dL) | Bacaan (µmol/L) | Keterangan |
| 0-5 mg/dL | 85 µmol/L | Normal, bawah paras dan tiada jaundis |
| 5-15 mg/dL | 256 µmol/L | Selalunya keadaan ini masih normal, terutama bagi bayi yang berusia 2 hingga 3 hari selepas dilahirkan. |
| 15-20 mg/dL | 342 µmol/L | Perlu pemantauan teliti dan rawatan mungkin diperlukan bagi bayi yang masih newborn atau kelahiran pramatang. |
| 20 mg/dL dan ke atas | > 342 µmol/L | Jaundis teruk, berisiko tinggi dan mungkin memerlukan rawatan intensif, termasuk pemindahan darah, sekiranya paras bilirubin tidak menurun dengan rawatan fototerapi. |
Bacaan bilirubin antara 0 hingga 5 mg/dL (±85 µmol/L) dianggap normal dan tidak menunjukkan tanda jaundis. Jika bacaan berada dalam lingkungan 5 hingga 15 mg/dL (±256 µmol/L), ini menandakan jaundis ringan, dan pemantauan rapi diperlukan untuk memastikan ia tidak menjadi lebih serius. Bacaan 15 hingga 20 mg/dL (±342 µmol/L) menunjukkan jaundis sederhana, di mana rawatan mungkin diperlukan untuk mencegah komplikasi. Bacaan melebihi 20 mg/dL (≥342 µmol/L) menandakan jaundis teruk dan memerlukan perhatian perubatan segera.
Kebanyakan doktor melakukan saringan jaundis sejurus selepas kelahiran, termasuk pemeriksaan fizikal untuk menilai warna kulit, corak penyusuan, dan tingkah laku bayi. Jika jaundis disyaki, ujian darah dijalankan bagi mendapatkan bacaan bilirubin yang tepat.

Rawatan Jaundis pada Bayi
Fototerapi
Rawatan utama untuk jaundis bayi ialah fototerapi. Proses ini menggunakan mesin yang memancarkan cahaya biru khas (UV) untuk membantu memecahkan bilirubin berlebihan dalam darah bayi.
Bayi akan diletakkan di bawah cahaya tersebut selama beberapa jam, bergantung pada tahap bilirubin. Dalam beberapa hari, paras bilirubin akan menurun dan warna kekuningan pada kulit biasanya akan hilang, membolehkan bayi dibawa pulang dengan selamat.
Jaundis Susu Ibu
Jika jaundis disebabkan oleh penyusuan susu ibu yang kurang kerap (breastfeeding jaundice), rawatan yang disarankan adalah meningkatkan kekerapan penyusuan. Dengan penyusuan yang lebih kerap, bayi dapat menyingkirkan bilirubin melalui najis dengan lebih berkesan, sekaligus membantu kulit bayi kembali normal lebih cepat.
Transfusi Pertukaran (Exchange Transfusion)
Dalam kes jaundis yang sangat teruk dan tidak bertindak balas terhadap fototerapi, prosedur transfusi pertukaran mungkin diperlukan. Prosedur ini melibatkan penggantian sebahagian darah bayi dengan darah penderma untuk menurunkan paras bilirubin dengan cepat, sekaligus mencegah komplikasi serius seperti kerosakan otak (kernikterus).
Soalan Lazim (FAQ) Tentang Bacaan Kuning Bayi
- Adakah semua bayi akan mengalami jaundice selepas kelahiran
Tidak, tidak semua bayi akan mengalami jaundice. Namun. majoriti bayi baru lahir (sekitar 60–70%) akan mengalami kuning bayi ringan, terutamanya dalam beberapa hari pertama selepas kelahiran. Ini dianggap normal dan sementara.
- Bila perlu datang buat bacaan kuning bayi?
Ibu bapa disarankan ke klinik untuk bacaan kuning seawal 2-3 hari selepas lahir. Ulang bacaan jika disarankan oleh doktor
- Adakah susu ibu menyebabkan kuning?
Tidak perlu hentikan susu ibu.
Penyusuan susu ibu sangat digalakkan kerana ia membantu bayi membuang bilirubin melalui najis.