“Doktor, saya keluar darah sikit. Adakah ini tanda keguguran?”
Ini antara soalan yang kerap ditanya oleh ibu hamil, terutama pada trimester pertama.
Memang normal untuk rasa risau apabila nampak darah atau mula mengalami sakit di bahagian bawah perut.
Namun, pendarahan ketika hamil tidak semestinya bermaksud anda sedang mengalami keguguran. Ada kehamilan yang masih berkembang dengan baik walaupun ibu pernah mengalami spotting.
Pada masa yang sama, simptom tertentu tetap perlu diperiksa supaya doktor dapat memastikan keadaan kandungan dalam keadaan baik dan menolak probability masalah lain seperti kandungan luar rahim.

Apakah tanda keguguran yang biasa berlaku?
Tanda keguguran boleh berbeza bagi setiap wanita.
Antara simptom yang mungkin berlaku ialah:
- Spotting atau pendarahan dari faraj
- Darah menjadi semakin banyak
- Sakit atau kekejangan di bahagian bawah perut
- Sakit belakang yang datang bersama pendarahan
- Keluar cecair dari faraj
- Keluar ketulan darah atau tisu
- Simptom kehamilan berkurangan secara tiba-tiba
Walau bagaimanapun, simptom ini sahaja tidak dapat mengesahkan keguguran.
Pemeriksaan doktor, ujian darah dan ultrasound mungkin diperlukan untuk mengetahui keadaan sebenar kandungan.
Adakah spotting semasa hamil tanda keguguran?
Spotting ialah pendarahan ringan yang biasanya hanya meninggalkan kesan pada seluar dalam atau tisu apabila dilap. Warnanya mungkin merah jambu, merah atau coklat.
Spotting boleh berlaku pada awal kehamilan dan tidak semua spotting memberi gambaran keguguran akan berlaku.
Pendarahan ringan juga boleh berlaku selepas hubungan seks atau pemeriksaan dalaman kerana pangkal rahim lebih sensitif semasa hamil.
Namun, hubungi klinik sekiranya anda mengalami pendarahan ketika hamil, terutamanya jika:
- Darah semakin banyak
- Pendarahan berulang atau berterusan
- Disertai sakit perut
- Keluar ketulan atau tisu
- Anda berasa pening, lemah atau hampir pitam
Warna dan jumlah darah sahaja tidak mencukupi untuk menentukan sama ada kehamilan masih berkembang dengan baik.
Darah coklat, adakah tanda keguguran?
Darah berwarna coklat biasanya merupakan darah lama yang mengambil masa lebih panjang untuk keluar. Ia tidak semestinya tanda keguguran.
Tetapi jika darah coklat berubah menjadi merah segar, semakin banyak atau disertai sakit perut yang kuat, segera jumpa doktor!
Jangan cuba membuat kesimpulan berdasarkan warna darah sahaja.
Bolehkah keguguran berlaku tanpa pendarahan?
Ya. Keadaan ini dikenali sebagai missed miscarriage.

Dalam keadaan ini, perkembangan kandungan telah terhenti tetapi ibu mungkin tidak mengalami pendarahan atau sakit. Ada yang masih mempunyai simptom kehamilan seperti loya dan payudara terasa tegang.
Missed miscarriage biasanya dikesan semasa ultrasound.
Sebab itu, ketiadaan pendarahan tidak semestinya dapat memastikan bahawa semuanya berada dalam keadaan normal.
Simptom kehamilan tiba-tiba hilang, adakah itu tanda keguguran?
Loya, keletihan dan sakit payudara boleh berubah mengikut paras hormon.
Ada hari simptom terasa kuat.
Dan ada hari ia berkurangan.
Perubahan ini sahaja tidak dapat mengesahkan keguguran.
Jika simptom hilang bersama pendarahan atau sakit perut, hubungi doktor untuk mendapatkan pemeriksaan. Ultrasound ialah antara kaedah yang digunakan untuk menilai perkembangan kandungan.
Bagaimana doktor mengesahkan keguguran?
Doktor tidak akan membuat diagnosis berdasarkan simptom semata-mata.
Antara pemeriksaan yang mungkin dilakukan ialah:
1. Ultrasound
Ultrasound digunakan untuk melihat lokasi kandungan, saiz kantung kehamilan, perkembangan embrio dan degupan jantung apabila usia kandungan sudah sesuai.
Jika pemeriksaan dibuat terlalu awal, hasilnya mungkin belum jelas.
2. Ujian darah hCG
Doktor mungkin memeriksa paras hormon hCG. Dalam sesetengah keadaan, ujian perlu diulang selepas beberapa hari untuk melihat perubahan paras hormon tersebut.
3. Pemeriksaan susulan
Jika usia kandungan masih awal atau tarikh kehamilan kurang pasti, doktor mungkin mencadangkan ultrasound ulangan. Ini dapat mengelakkan diagnosis dibuat terlalu awal.
Bila perlu terus ke jabatan kecemasan?
Dapatkan rawatan kecemasan dengan segera jika anda mengalami:
- Pendarahan banyak sehingga pad cepat penuh
- Sakit perut yang sangat kuat
- Sakit yang tertumpu pada sebelah bahagian perut
- Sakit pada hujung bahu
- Pening teruk atau hampir pitam
- Pengsan
- Demam atau badan menggigil
- Pendarahan bersama rasa sangat lemah
Simptom seperti sakit sebelah perut, sakit bahu dan pitam juga boleh berlaku dalam kehamilan luar rahim, yang memerlukan rawatan segera.
Jika keadaan anda stabil tetapi mengalami spotting atau sakit ringan, hubungi klinik untuk mendapatkan nasihat dan pemeriksaan.
Kenapa keguguran boleh berlaku?
Kebanyakan keguguran awal berlaku kerana masalah kromosom pada embrio yang menyebabkan kandungan tidak dapat berkembang dengan normal.
Ia biasanya berlaku secara rawak semasa proses persenyawaan. Dalam banyak keadaan, ibu tidak melakukan apa-apa yang menyebabkan keguguran tersebut.
Aktiviti harian seperti bekerja, berjalan, menaiki tangga, bersenam secara sederhana atau melakukan hubungan seks lazimnya bukan punca keguguran bagi kehamilan yang normal.
Faktor lain yang mungkin meningkatkan risiko termasuk:
- Peningkatan usia ibu
- Diabetes atau masalah tiroid yang tidak terkawal
- Masalah pada struktur rahim
- Sesetengah jangkitan atau keadaan perubatan
- Merokok, alkohol dan dadah
- Gangguan pembekuan darah tertentu
Doktor mungkin mencadangkan pemeriksaan lanjut jika keguguran berlaku berulang kali atau terdapat faktor risiko tertentu.
Jangan terus salahkan diri sendiri
Selepas mengalami keguguran, ramai wanita tertanya-tanya:
“Adakah sebab saya terlalu penat?”
“Adakah sebab saya stres?”
“Adakah saya tidak pandai menjaga kandungan?”
Perasaan sedih, bersalah dan kecewa itu valid.
Tetapi kebanyakan keguguran awal bukan disebabkan oleh sesuatu yang ibu makan, angkat atau lakukan.
Tubuh menghentikan kehamilan yang tidak dapat berkembang dengan normal.
Ia bukan bermaksud anda gagal sebagai seorang ibu.
Ambil masa untuk pulih dari segi fizikal dan emosi.
Jika kesedihan atau keresahan mula mengganggu tidur, kerja dan kehidupan harian, berbincanglah dengan doktor atau individu yang anda percayai.
Soalan Lazim Tentang Tanda Keguguran
Adakah sakit perut tanpa darah tanda keguguran?
Sakit ringan atau rasa tegang boleh berlaku apabila rahim mula membesar. Namun, sakit yang kuat, berpanjangan atau hanya tertumpu pada satu bahagian perlu diperiksa dengan segera.
Adakah keluar ketulan darah bermaksud sudah keguguran?
Ketulan darah boleh berlaku apabila pendarahan banyak, tetapi ia tidak dapat mengesahkan keguguran. Jika anda keluar ketulan atau tisu semasa hamil, dapatkan pemeriksaan.
Bolehkah kandungan masih selamat selepas berlaku pendarahan?
Ya, sesetengah kehamilan terus berkembang dengan normal selepas spotting atau pendarahan ringan. Keadaan kandungan perlu dinilai melalui pemeriksaan yang sesuai.
Perlukah pergi klinik jika darah hanya sedikit?
Sebaiknya hubungi klinik untuk mendapatkan nasihat, terutama jika anda belum pernah menjalani ultrasound atau pendarahan berlaku berulang kali.
Apa yang anda perlu lakukan sekarang?
Jika anda mengalami simptom yang mungkin menyerupai tanda keguguran:
- Perhatikan jumlah dan warna pendarahan.
- Catat sama ada terdapat sakit, ketulan atau simptom lain.
- Gunakan pad supaya jumlah pendarahan lebih mudah dipantau.
- Hubungi klinik untuk pemeriksaan jika keadaan anda stabil.
- Terus ke jabatan kecemasan jika pendarahan banyak, sakit sangat kuat, pening atau pengsan.
Pendarahan ketika hamil memang boleh membuatkan anda cemas. Tetapi jangan membuat diagnosis sendiri. Pemeriksaan awal boleh membantu menentukan keadaan kandungan dan rawatan yang diperlukan.
