UPT sudah menunjukkan dua garis. Period juga dah lewat tapi masih tiada tanda-tanda mengandung.
Yang peliknya, tak loya, tak muntah, payudara tak rasa engorge dan badan pula terasa seperti biasa.
Apabila orang lain cerita tentang morning sickness, mengidam atau cepat penat, anda mungkin mula tertanya-tanya;
“Betul ke aku ni mengandung?”
“Kenapa aku tak ada tanda-tanda mengandung macam orang lain?”
“Kandungan aku ni normal ke?”

Jawapan ringkasnya, seseorang memang boleh hamil walaupun tiada tanda-tanda mengandung yang ketara.
Setiap wanita mengalami perubahan badan yang berbeza.
Malah simptom kehamilan pertama dan kehamilan seterusnya juga tidak semestinya sama.
Menurut NHS, simptom awal kehamilan biasanya mula dirasai sekitar minggu keempat hingga keenam. Namun tidak semua wanita mengalami kesemua simptom tersebut. Ada juga yang hampir tidak mengalami sebarang simptom pada peringkat awal.
Sumber: www.nhs.uk
Apakah tanda-tanda mengandung yang biasa?
Tanda-tanda mengandung boleh berbeza bagi setiap wanita. Antara perubahan yang biasa dialami ialah:
- lewat atau tidak datang haid
- loya atau muntah
- cepat penat
- payudara terasa sakit atau tegang
- lebih kerapa membuang air kecil
- sensitif terhadap bau tertentu
- perubahan selera makan
- rasa kembung atau sembelit
- perubahan emosi
- peningkatan keputihan tanpa kegatalan atau bau
- rasa seperti senggugut ringan
Namun, senarai ini bukan “checklist wajib”.
Ada wanita yang mengalami beberapa simptom serentak.
Ada yang hanya menyedari period sudah lewat.
Ada juga yang langsung tidak loya atau muntah tetapi kandungannya masih berkembang seperti biasa.
Bilakan tanda-tanda mengandung mula dirasai?
Usia kehamilan dikira bermula daripada hari pertama haid terakhir. Bukan daripada tarikh hubungan seksual atau persenyawaan.
Secara umumnya seperti berikut;
| Usia kandungan | Perubahan yang mungkin berlaku |
| Minggu 1-2 | Biasanya terlalu awal untuk mengalami simptom berkaitan kehamilan |
| Minggu 3-4 | Period mungkin lewat, badan terasa penat atau payudara mula sensitif |
| Minggu 4-6 | Loya, perubahan bau, kerap kencing atau keletihan mungkin mula dirasai |
| Minggu 6 dan seterusnya | Simptom mungkin menjadi lebih jelas atau masih tidak ketara |
Jadual ini hanyalah gambaran umum.
Simptom bukan kaedah yang tepat untuk menentukan usia atau perkembangan kandungan.
Kenapa saya hamil tetapi tidak mempunyai simptom?
Terdapat beberapa kemungkinan.
1. Kandungan masih terlalu awal
Jika kandungan baru berusia sekitar empat atau lima minggu, perubahan hormon mungkin belum menyebabkan simptom yang jelas.
Jika kitaran haid tidak teratur atau anda tidak pasti tarikh hari pertama haid terakhir, usia sebenar kandungan juga mungkin lebih awal daripada pengiraan.
2. Tindak balas badan setiap wanita berbeza
Perubahan hormon boleh menyebabkan loya, keletihan dan sakit payudara. Tetapi tahap kepekaan badan terhadap perubahan tersebut berbeza bagi setiap wanita.
Sebab itu ada ibu yang mengalami morning sickness teruk, manakala ibu lain masih boleh makan dan menjalani aktiviti harian seperti biasa.
3. Simptom terlalu kecil
Kadangkala tanda-tanda mengandung sebenarnya sudah ada, tetapi terlalu ringan.
Contohnya, keletihan dianggap berpunca daripada kurang tidur. Payudara yang sedikit sensitif pula disangka tanda period akan datang.
4. Setiap kehamilan tidak sama
Jika kehamilan pertama menyebabkan anda muntah dengan teruk, kehamilan kedua tidak semestinya memberikan pengalaman yang sama.
Perbezaan simptom antara dua kehamilan tidak secara automatik bermaksud terdapat masalah dengan kandungan.
Betul ke tak muntah bermaksud kandungan janin lemah?
Tidak.
Loya dan muntah hanyalah antara simptom yang mungkin berlaku. Ia bukan ukuran kekuatan kandungan atau kesihatan baby.
Ada ibu yang tidak mengalami morning sickness tetapi kandungannya berkembang seperti biasa. Pada masa yang sama, mempunyai simptom yang kuat juga tidak menjamin bahawa kandungan pasti tidak mempunyai sebarang masalah.
Keadaan kandungan tidak boleh ditentukan berdasarkan simptom semata-mata.
Doktor mungkin menilai:
- keputusan ujian kehamilan;
- tarikh hari pertama haid terakhir;
- keteraturan kitaran haid;
- simptom semasa;
- sejarah kesihatan dan kehamilan;
- pemeriksaan klinikal;
- ultrasound pada waktu yang sesuai.
UPT positif tetapi saya tak rasa mengandung
UPT mengesan hormon hCG yang dihasilkan selepas kehamilan bermula.

Jika UPT positif dan ujian dilakukan mengikut panduan yang betul, keputusan itu biasanya menunjukkan bahawa hormon kehamilan telah dikesan.
Walau bagaimanapun, UPT tidak boleh menentukan lokasi, usia atau perkembangan kandungan dengan tepat.
Anda juga tidak perlu mengulang UPT setiap hari untuk memantau kandungan.
Ketebalan garisan pada kit ujian bukan ukuran tepat kesihatan baby.
Jika tarikh haid tidak pasti atau kitaran anda tidak teratur, berbincang dengan doktor tentang waktu pemeriksaan yang sesuai.
Bacaan berkaitan: Bila Waktu Sesuai Buat Pregnancy Test
Perlukah terus membuat ultrasound?
Ketiadaan tanda-tanda mengandung sahaja tidak semestinya bermaksud anda perlu membuat ultrasound dengan segera.
Waktu scan bergantung pada usia kandungan, tarikh haid terakhir, kitaran haid, simptom dan sejarah kehamilan anda.
Jika ultrasound dibuat terlalu awal, kandungan mungkin belum dapat dilihat dengan jelas. Keadaan ini boleh menyebabkan ibu menjadi lebih risau walaupun kandungan sebenarnya masih terlalu awal.
Bacaan berkaitan: Bila Perlu Buat Early Pregnancy Scan Baby?
Bagaimana jika simptom kehamilan tiba-tiba hilang?
Simptom kehamilan boleh berubah dari hari ke hari.
Payudara mungkin terasa tegang selama beberapa hari kemudian kembali biasa. Loya pula mungkin kuat pada satu hari dan berkurang pada hari berikutnya.
Perubahan simptom sahaja tidak cukup untuk menentukan keadaan kandungan.
Namun, dapatkan pemeriksaan jika perubahan itu berlaku bersama:
- pendarahan dari faraj;
- sakit perut atau pelvis yang kuat;
- sakit yang semakin teruk atau lebih ketara pada sebelah perut;
- rasa terlalu lemah, pening atau hampir pengsan;
- sakit pada bahagian bahu;
- demam;
- muntah berterusan sehingga tidak boleh makan atau minum.
Jika pendarahan banyak, sakit sangat kuat atau anda pengsan, terus dapatkan rawatan kecemasan.
Apa perlu dibuat selepas UPT positif?
Jika UPT sudah positif tetapi anda belum mengalami simptom yang jelas:
- Catat hari pertama haid terakhir jika masih ingat.
- Jangan gunakan kekuatan simptom untuk mengukur kesihatan baby.
- Elakkan mengambil atau menghentikan ubat tanpa nasihat doktor atau ahli farmasi.
- Aturkan konsultasi awal kehamilan.
- Bincangkan waktu ultrasound yang sesuai dengan doktor.
- Mulakan penjagaan antenatal dan proses membuka Buku Pink.
Bacaan berkaitan: Kenapa Ibu Mengandung Perlu Buka Buku Pink?
Soalan Lazim
1. Saya hamil lima minggu tetapi langsung tak ada simptom. Normal ke?
Ia boleh berlaku, terutamanya apabila kandungan masih awal. Sesetengah wanita belum mengalami perubahan ketara pada minggu keempat atau kelima.
2. Pregnant tetapi tak muntah ni baby okay ke?
Tidak muntah bukan tanda kandungan lemah. Simptom sahaja tidak boleh menentukan keadaan baby.
3. Payudara sebelum ini sakit tetapi sekarang dah tak sakit. Perlu risau?
Sakit payudara boleh berubah dari hari ke hari. Namun, dapatkan pemeriksaan jika perubahan tersebut disertai pendarahan, sakit kuat atau tanda amaran lain.
4. Adakah simptom yang kuat bermaksud kandungan lebih sihat?
Tidak semestinya. Banyak atau sedikit simptom bukan ukuran tepat perkembangan kandungan.
Kesimpulan
Tanda-tanda mengandung berbeza bagi setiap wanita dan setiap kehamilan.
Ada ibu yang mengalami loya, muntah, keletihan dan sakit payudara. Ada juga yang hampir tidak mempunyai simptom pada peringkat awal.
Jika UPT positif tetapi anda tidak pasti usia kandungan atau langkah seterusnya, dapatkan konsultasi awal. Pemeriksaan berdasarkan sejarah haid, keadaan kesihatan dan waktu ultrasound yang sesuai boleh memberikan gambaran yang lebih tepat berbanding menilai simptom sahaja.
